Baru-baru ini hangat isu PTD. Sebagai orang yang tidak banyak pengetahuan tidak lah berani untuk saya mengomen isu ini secara terbuka. Hanya sekadar membaca maklumat terkini dan berfikir sendiri. Lebih-lebih nanti salah fakta dan jadi fitnah pula. Tapi amnya saya salute kepada yang berani bersuara membentras rasuah, bukan calang-calang orang dilawannya. Dan pastinya saya juga benci penyelewengan di mana hak orang septutnya, tapi dirampas demi kepentingan diri sendiri.
Satu juga pesanan, diharapkan kita dikekalkan hati untuk berasa cukup dan tidak diberi ujian sebegitu rupa. Jaga juga kata-kata, jangan over sangat sampai menghina pihak yang tidak sepatutnya. Ambil pengajaran dan tauladan.
Apapun saya nak kongsikan komen berfakta yang membuka minda ini. Kredit kepada tuan yang menulisnya.
"Bom Tak Meletup Sebab 'Expired'. Bila Duit Maintenance Masuk Poket Tuan Besar."
Tuan-tuan bayangkan situasi ni.
Tuan bawa jet pejuang dengan kelajuan 800km/j.
Tuan terbang sangat rendah, cuma 10 meter dari permukaan laut untuk elak radar musuh.
Di depan mata, ada kapal perang gergasi British yang siap sedia dengan peluru berpandu. Nyawa tuan di hujung tanduk.
Tuan elak tembakan, tuan masuk zon bahaya dan tuan lepaskan bom tepat ke arah sasaran.
BAM!
Bom tu kena. Bom tu tembus dinding kapal musuh.
Tuan tarik nafas lega, pusing jet nak balik ke pangkalan sambil tunggu letupan.
Tapi... senyap.
Tiada api. Tiada letupan. Kapal musuh masih elok berlayar.
Rupa-rupanya, bom yang tuan gugurkan tu tak meletup. Ia cuma jadi seketul besi buruk yang tersangkut di dinding kapal.
Inilah kisah benar yang paling menyayat hati dalam Perang Falklands (1982) antara Argentina dan Britain.
Juruterbang Tentera Udara Argentina (Fuerza AƩrea Argentina) diakui dunia sebagai wira sebenar.
Mereka terbang dengan jet A-4 Skyhawk yang dah agak berusia, melawan armada British yang jauh lebih canggih.
Mereka berani mati terbang rendah untuk pastikan bom kena sasaran.
Rekod menunjukkan, sekurang-kurangnya 13 bom yang digugurkan tepat ke atas kapal British GAGAL MELETUP.
Kalau 13 bom ni meletup, sejarah perang mungkin berubah. Argentina mungkin menang.
Kenapa tak meletup?
Siasatan kemudiannya mendedahkan satu realiti pahit.
Selain faktor taktikal (terbang terlalu rendah menyebabkan fius tak sempat aktif), ada isu besar melibatkan penyelenggaraan aset.
Fius bom yang digunakan adalah stok lama. Ada yang dah "expired".
Bajet penyelenggaraan (maintenance) untuk pastikan senjata sentiasa "tip-top" rupa-rupanya banyak yang tidak sampai ke tempat sepatutnya.
Sistem ketenteraan Argentina masa tu diperintah oleh Junta Tentera yang sangat korup.
Pegawai atasan sibuk kumpul kekayaan, tapi aset ketenteraan dibiarkan reput dalam gudang.
Bila perang meletus, dorang main sauk saja apa yang ada, walaupun barang tu dah tak boleh pakai.
Kisah di darat lagi la menyedihkan.
Askar kerahan (conscript) Argentina, yang rata-ratanya budak muda umur 18-19 tahun, dihantar perang dalam keadaan menyedihkan.
Mereka kebuluran. Mereka kesejukan.
Ada laporan mengatakan askar terpaksa mencuri makanan dari rumah penduduk tempatan atau memburu biri-biri liar sebab bekalan makanan tak sampai.
Rupa-rupanya, gudang makanan di Port Stanley penuh melimpah ruah!
Tapi gudang tu dikunci rapi oleh pegawai atasan.
Sementara askar bawahan menggigil dalam parit dengan perut kosong dan kasut bocor, pegawai-pegawai atasan dilaporkan duduk selesa di hotel, makan steak, minum wain dan tidur atas tilam empuk.
Dorang buat askar bawahan macam hamba abdi.
Bila kalah perang, pegawai-pegawai ni balik dengan perut buncit. Tapi juruterbang yang hebat dan askar yang setia tadi, balik sebagai mayat atau tawanan perang yang kurus kering.
Kisah Falklands ni mengajar kita satu benda.
Musuh British memang kuat. Tapi punca sebenar kekalahan Argentina bukan sebab British.
Tapi sebab "Kanser" dalam badan sendiri.
Juruterbang buat kerja gila-gila, tapi support system hancur.
Askar sanggup mati pertahankan kubu, tapi logistik kena sakau.
Bila duit maintenance "ghaib" dan bila kebajikan anak buah "dikunci" dalam gudang, maka hilanglah keberkatan dalam perjuangan.
Menang sorak, tapi kampung tergadai.
Yang jadi mangsa, sentiasa "ikan bilis" di bawah. "Jerung" di atas selalunya sempat lari bawak beg duit.
Dan benda ni setiap zaman sentiasa berlaku.
MasyaAllah, takut sungguh kita bila mengenangkan nasib mereka yang dikhianati oleh pemimpin sendiri.
Dalam Islam, kepimpinan itu bukan tentang keistimewaan atau kemewahan, tetapi tentang tanggungjawab yang akan disoal di Mahsyar kelak.
Setiap sen duit rakyat yang disalah guna dan setiap nyawa perajurit yang terkorban akibat kecuaian pemimpin, pasti akan dituntut satu per satu di hadapan Allah SWT.
Moga kita dijauhkan daripada pemimpin yang zalim, yang kenyang di saat rakyatnya lapar dan yang ketawa di saat perajuritnya menderita.
No comments:
Post a Comment