I love Palestine

I love Palestine

Sunday, 2 August 2020

Repost: Bagaimana Solat Orang Yang Terkena Najis

(وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ)

“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah Al-Muddathir, 74:4)

Bersuci merupakan salah satu syarat sah sembahyang. Sebelum solat, seseorang muslim itu wajib memastikan keadaan sekeliling, pakaian dan tubuh badan bersih daripada najis dan segala kotoran yang boleh membatalkan solat.

Melalui hadis yang telah dinyatakan juga membuktikan bahawa suci daripada najis membuktikan salah satu syarat sah sembahyang.

اِذَا اَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِيَ الصَّلاَةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي

“Jika datang darah haid, maka tinggalkanlah sembahyang dan jika telah berlalu haid itu, maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Najis merupakan segala kotoran yang boleh membatalkan sembahyang. Sebahagian ulama’ pula memberi makna bahawa najis ialah sesuatu yang haram dimakan ketika mempunyai pilihan (ikhtiyar) lain.

Ia bermaksud, jika tidak berada dalam keadaan darurat, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana kita masih mempunyai pilihan untuk makan makanan lain yang halal.

Jumhur Ulama’ juga berpendapat bahawa kotoran yang suci seperti hingus dan nanah jerawat adalah tidak membatalkan sembahyang kerana ia tidak dianggap sebagai najis. Dalam erti kata yang lain, tidak semua perkara yang kotor dikira sebagai najis, tetapi najis biasanya adalah perkara yang kotor dan jijik.

Sedari kecil, kita mengetahui bahawa najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:

#1 – Najis Mukhaffafah

Najis ini merupakan najis jenis ringan, iaitu air kencing kanak-kanak lelaki di bawah umur dua tahun dan hanya makan susu ibu sahaja.

Najis jenis ini boleh disucikan dengan mudah, iaitu dengan menghilangkan najis terlebih dahulu, setelah itu dibasuh bahagian yang terkena najis dan dilapkan kemudian dipercikkan air di atas tempat yang terkena najis. Kemudian, ia boleh dilapkan dengan kain bersih sehingga kering.

#2 – Najis Mutawassitah

Ia merupakan najis sederhana seperti darah, muntah, air kencing dan sebagainya. Najis ini adalah selain daripada najis mukhaffafah dan Mughallazah.

Ia perlu dicuci sehingga hilang bau, sifat dan warna. Seterusnya, cukuplah dengan mengalirkan air mutlak sekurang-kurangnya sekali.

#3 – Najis Mughallazah

Najis jenis ketiga ini merupakan najis daripada anjing, babi dan keturunan yang datang daripadanya sama ada kacukan atau tidak.

Sebagai contoh, jika lembu telah dikacukkan dengan babi, maka anak lembu yang lahir itu dikira haram dan dianggap sebagai najis mughallazah.

Menurut beberapa kajian yang telah dilakukan oleh beberapa orang pakar sains dan binatang dari luar negara, mereka mengatakan bahawa terdapat bakteria dan kuman yang berbahaya melalui air liur anjing. Manakala, kuman yang terdapat dalam daging babi atau khinzir ini juga dikatakan kuman yang berbahaya dan tidak boleh mati walaupun sudah direndam dalam air panas.

Najis ini merupakan najis yang paling berat kerana umat Islam dilarang menyentuh atau terkena binatang ini. Jika terkena, maka diwajibkan untuk membasuh dengan air suci sebanyak tujuh kali.

Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sucinya wadah kalian yang dimasuki mulut anjing adalah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali. Ia juga disebut sebagai salah satu dengan tanah.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Najis Yang Dimaafkan

Jika terdapat najis mughallazah pada pakaian, maka seseorang muslim itu tidak boleh menunaikan solat selagi tidak dibasuh dan dihilangkan najis tersebut daripada tubuh badannya atau pakaiannya.

Namun, bagaimana pula dengan najis yang sedikit seperti keluarnya darah atau darah nyamuk yang melekat pada badan kita?

Menurut pendapat Mazhab Syafi’e, ia termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan. Ia menjadi najis yang dimaafkan kerana dipengaruhi oleh keadaan yang susah dikawal yang dipanggil (Ulum al-Balwa). Antara jenis najis yang dimaafkan ialah:

#1 – Tidak Nampak Pada Pandangan Kasar

Walaupun najis itu terdiri daripada najis mughallazah, sebagai contoh, darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat solat. Jika tidak dilihat dengan mata kasar, maka ia dimaafkan.

Namun, jika air kencing itu banyak sehingga nampak seluarnya basah, maka ia merupakan najis yang tidak boleh dibawa ke dalam solat.

#2 – Najis Yang Sedikit

Darah nyamuk atau kutu yang melekat pada anggota badan, nanah atau dari jerawat yang keluar juga dikira sebagai najis yang dimaafkan.

Namun, jika ia dalam kuantiti yang banyak sehingga mengganggu keselesaan solat, maka itu adalah diharamkan.

Walau bagaimanapun, jika darah atau nanah tersebut keluar akibat perbuatannya sendiri, seperti memicit jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka ia bukan dalam kategori yang dimaafkan. Oleh itu, wajib ke atasnya untuk membuang najis tersebut terlebih dahulu sebelum meneruskan solatnya.

#3 – Darah Dari Gusi

Jika mengalami sakit gigi atau gusi sehingga mengeluarkan darah, maka ia tidak mengapa. Hal ini kerana, ia telah bercampur dengan air liur sendiri.

Menurut pendapat mazhab Syafi’e, sah sembahyang bagi mereka yang berdarah gusi atau gigi selagi mereka tidak menelan air liurnya ketika dalam solat.

#4 – Tempat Yang Banyak Kotoran

Hal ini ada dijelaskan melalui sebuah pendapat yang bermaksud:

“Dan disyaratkan sucinya tempat yang dibuat solat. Dikecualikan dari hal ini permasalahan ketika banyak kotoran burung di tempat tersebut. Maka kotoran ini dihukumi najis yang ma’fu (najis yang dimaafkan) ketika berada di tanah atau permaidani dengan tiga syarat: Tidak sengaja berdiam diri di tempat yang terdapat kotoran tersebut, kotoran bukan dalam keadaan basah dan juga susah untuk dihindari.” (Sayyid Abu Bakar Syatho’, Hasyiyah I’anah at-Thalibin, juz 1, hal 80)

Melalui pendapat di atas, jumhur ulama’ menegaskan bahawa jika tempat tersebut tidak dapat dielakkan daripada permasalahan kotoran, maka ia adalah tidak mengapa. Namun, sebaiknya pihak yang bertanggungjawab seperti ahli masjid atau surau perlu berusaha menjaga kawasan solat tersebut.

Sebagai contoh, kawasan surau yang banyaknya cicak sehingga najisnya sentiasa bertaburan dan tidak dapat dielakkan atau kawasan masjid yang tidak berbumbung dan dikelilingi oleh banyaknya burung, maka ia adalah tidak mengapa.

Bagaimana Terkena Najis Di Pertengahan Solat

Timbul pula persoalan jika kita solat di tempat yang terbuka, kemudian terkena najis, seperti najis burung dan sebagainya. Tidak perlu tunggu untuk solat di tempat terbuka, malah jika solat di kawasan surau atau masjid pun boleh terkena najis cicak dan sebagainya.

Jika ia terjadi, bagaimana hukum solatnya. Apa pula yang perlu dilakukan jika terjadi hal yang demikian?

Menurut penerangan jumhur ulama’ melalui kitab Manhaj at-Thullab yang bermaksud:

“Tidak batal jika baru datang pada orang yang solat sesuatu yang membatalkan tanpa adanya kecerobohan dari orang yang solat. Sebagai contoh, auratnya yang terbuka sebab terkena angin atau jatuh najis yang terkena pakaiannya. Jika ia berusaha untuk menutup auratnya daripada angin tersebut atau membuang pakaian yang terdapat najis atau membuang najis yang kering, maka solatnya tidak batal. Kerana keadaan yang bersifat baru datang ini ialah ma’fu.” (Syeikh Zakaria al-Anshari, Manhaj at-Thullab, juz 2, hal 481)

Melalui penjelasan ini, terdapat dua situasi najis yang berbeza, iaitu terkena najis yang basah dan kering:

Pertama, jika terkena najis yang basah, maka seseorang yang berada di dalam solat perlu membuang najis tersebut sama ada mengelap dengan kain atau menanggalkan pakaian tempat yang terkena najis tersebut. Solatnya masih boleh diteruskan kerana ia adalah situasi yang ma’fu, iaitu dimaafkan.

Walau bagaimanapun, jika najis tersebut banyak atau terkena di bahagian anggota badan yang lain seperti rambut, maka perlu menghentikan solatnya kerana salah satu syarat sah solat ialah tidak boleh membawa najis padanya.

Kedua ialah, jika najis tersebut merupakan najis kering seperti tahi burung yang telah lama, maka perlu dibuang juga sama ada dengan menyapu atau menanggalkan pakaiannya.

Dapat disimpulkan di sini, jika najis tersebut masih boleh dibuang (tanpa melibatkan pergerakan yang membatalkan sembahyangnya) maka, sah dan boleh diteruskan solatnya. Namun, jika tidak boleh membuang najis tersebut tanpa membatalkan solat, maka perlu dihentikan solatnya untuk membuang najis tersebut dan mengqada’nya semula.

Bagaimana jika kejadian itu berlaku ketika solat yang khusus seperti solat Jumaat atau solat sunat hari raya?

Jika solat wajib seperti solat Jumaat, maka hukumnya juga adalah sama. Perlu membuang najis tersebut. Namun, jika tidak boleh dibuang, maka solatnya perlu dihentikan untuk menyucikannya terlebih dahulu.

Jika masih sempat untuk mengikut imam pada solat Jumaat (sempat satu rakaat), maka ia perlu melakukan solat Jumaat semula.

Namun, jika sudah tidak sempat mengikut imam untuk solat Jumaat, maka muslim tersebut perlu mengganti solatnya dengan fardu Zohor.

Jika solat sunat seperti solat Hari Raya Aidilfitri, solat Tarawih atau Hari Raya Aidil Adha, maka tidak perlu menggantinya.

Perlukah Mengganti Solat

Jika najis tersebut terkena pada muslim sebelah dan kita mengetahuinya, maka wajib bagi seseorang yang melihatnya untuk menegur. Hal ini adalah untuk menjamin solat seseorang muslim tersebut.

Bagaimana pula jika kita tidak sedar bahawa semasa solat, najis sudah melekat pada anggota tubuh kita? Terdapat beberapa permasalahan mengenai kes ini, iaitu:

#1 – Tidak Tahu Ada Najis

Jika seseorang itu hanya menyedari terdapat najis pada anggota badan atau pakaiannya selepas selesai solat dan diyakini bahawa najis tersebut wujud semasa dalam solat, maka batal solatnya dan dianggap tidak sah.

Oleh itu, wajib ke atasnya untuk mengqada’ solat tersebut setelah dibuang kotorannya.

#2 – Tahu Tapi Terlupa

Jika sebelum solat, seseorang muslim menyedari bahawa terdapat najis pada pakaiannya, tetapi dia terlupa untuk menyucikannya dan solat dalam keadaan najis. Namun, setelah solat, seseorang itu mengingatinya semula, maka solatnya itu adalah tidak sah dan wajib ke atas muslim tersebut untuk mengqada’ solat tersebut.

#3 – Tidak Yakin Bila Hadirnya Najis

Jika seseorang itu menyedari bahawa ada najis pada pakaian atau anggota badannya selepas solat, namun dia tidak yakin bila wujudnya najis tersebut, maka sah solatnya.

Kesimpulan

Islam amat mementingkan kebersihan sama ada di luar atau di dalam solat. Hal ini kerana, ia merupakan sebahagian daripada syarat sah solat serta salah satu bahagian daripada iman seperti mana yang telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Malik al-Haris ibn ‘Asim al-Asy’ari;

لطهور شطر الإيمان

Maksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rujukan: Permasalahan Sembahyang Mufti Wilayah

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.


🕌 Credit to tzkrh.com

🕌 Thank you writer for allowing to share this article. May Allah bless you for the ilmu you share.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...