Ketika dimaklumkan terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 2021/1443H yang disambut pada 10 Ogos lalu, seorang penggali kubur bagaikan tidak percaya dan terkejut dengan berita itu.
Roslee Ali memberitahu dia tidak pernah menganggap kerjayanya itu mempunyai sebarang kesitimewaan apatah lagi sehingga melayakkannya menerima anugerah berprestij.
Sepanjang 11 tahun bergelar penggali kubur, Roslee, 63, memberitahu dia bekerja dalam bidang itu semata-mata ingin berbakti kepada masyarakat selain melakukan tuntutan fardu kifayah sebagai seorang Islam.
Kredit foto: mStar
"Ketika mendapat panggilan diberitahu tentang anugerah yang bakal diterima, saya memang terkejut namun berasa terharu kerana usaha dan sumbangan selama ini mendapat perhatian.
"Rasa tidak percaya pun ada tetapi Alhamdulillah atas penghargaan yang diberikan.
"Sejujurnya ini bukan kemenangan saya seorang tetapi ia mewakili seluruh barisan hadapan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, khariah masjid, sukarelawan, serta semua penggali kubur yang ada... ini adalah kemenangan untuk semua," katanya kepada mStar.
Roslee menerima Anugerah Tokoh Barisan Hadapan iaitu kategori baharu yang diperkenalkan pada tahun ini manakala Anugerah Tokoh Utama Ma'al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan dianugerahkan kepada Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat yang juga mantan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Selain Roslee, empat lagi penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1443H Anugerah Khas turut diberikan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari menerusi Anugerah Tokoh Barisan Hadapan, Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni (Anugerah Tokoh Korporat).
Dua lagi penerima adalah pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya (Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif) dan Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nur Maisarah Leong Yoke Keen (Anugerah Tokoh Mualaf).
Bagaimanapun Roslee tidak dapat menghadirkan diri bagi mengambil sendiri anugerah diberikan kerana merasakan dirinya berisiko terhadap orang lain memandangkan dia sering menguruskan jenazah Covid-19 setiap hari.
"Hendak pergi tetapi hari-hari saya terlibat menguruskan jenazah Covid-19, memegang dan memeluk jenazah untuk dikebumikan. Jadi risiko agak tinggi meskipun saya memakai PPE lengkap.
"Jika pergi mengambil anugerah mungkin ada kebarangkalian boleh menyebarkan wabak, jadi lebih baik saya elakkan. Insya Allah ada masa sesuai saya akan mengambil anugerah itu," jelasnya.
Suri's say:
👴 Terima kasih pakcik. Semoga Allah membalas jasa pakcik dengan anugerah yang lebih baik. Amin..
👴 Menggali kubur pasti memenatkan, manakala meresikokan diri dengan jangkitan memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan kekuatan hati. Terima kasih pakcik dan semua frontliners. Semoga kebaikan anda semua mendapat balasan baik.
👴 saya sangat kagum dengan keputusan pakcik untuk tidak hadir majlis tersebut demi kemaslahatan sejagat. Ramai yang tidak berbuat demikian dengan menghadiri majlis2 atau perhimpunan tidak penting dan melanggar SOP. Pakcik walk the talk dan memberikan contoh yang baik.
👴 Harap2 ramai yang akan mencontohi pakcik. Jaga SOP dan semoga jangkitan covid-19 berkurangan. Sedih dan merisaukan dengan keadaan Covid-19 di Malaysia yang tidak terkawal. Ditambah lagi dengan keadaan politik Malaysia yang tidak stabil. Kesian pada rakyat2 di bawah, pemimpin berebut kuasa.
👴 Sumber berita dari mStar
No comments:
Post a Comment